29.10.2025 - TINJAUAN ISU SEMASA

Program bertajuk “Nadappu Seithigal Oru Kannottam” yang membawa maksud Tinjauan Berita Semasa telah dijalankan dengan jayanya pada 29 Oktober 2025 (Rabu), bertempat di Dataran Ilmuan pada pukul 7.15 pagi. Melalui program ini, para peserta dikehendaki membentangkan berita-berita yang hangat diperkatakan di peringkat tempatan dan antarabangsa dalam gaya penyampaian berita sebenar serta membuat ulasan terhadap isu yang dikemukakan. Program ini telah dikendalikan oleh Navin A/L Sri Mani Maran selaku pengerusi majlis. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu doa oleh Roshinidurgaa A/P Thiyagarajan, yang menandakan pembukaan rasmi program tersebut. Bagi minggu ini, hanya guru pelatih daripada unit X-14 yang mengambil bahagian dalam sesi pembentangan. Pertamanya, Saudara Kugaventhiraah A/L Selva Raj dan Saudari Saminy A/P Raja telah berkongsi mengenai lawatan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia dari 26 hingga 27 Oktober 2025. Lawatan tersebut adalah bagi menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang kemuncak lain yang berkaitan. Seterusnya, Saudari Khirthana Sai A/P Ramu dan Saudari Niranchana A/P Gopal telah membicarakan isu pelajar sekolah yang membuang bayi di dalam tong sampah. Perbuatan ini dikenal pasti sebagai kesan daripada perhubungan seks pranikah, dan mereka turut berkongsi implikasi daripada tindakan tersebut. Akhir sekali, Saudari Buvaneswary A/P Mahendran dan Saudari Priyanga Vinayagi A/P Ganesan telah membentangkan perihal kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mengenai cadangan larangan penggunaan media sosial bagi pelajar di bawah umur 16 tahun. Mereka turut membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh para ibu bapa berhubung perkara ini. Secara keseluruhannya, program “Nadappu Seithigal Oru Kannottam” telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.




Kongsi:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Berita Terkini